Hukum Orang Bukan Islam Memasuki Masjid
11:58 AM | Author: anakbelalang


Sehari dua ini saya dihujani pertanyaan ekoran kontroversi yang berlaku di Selangor berkaitan isu non-muslim masuk ke masjid. Saya merujuk kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang dilaporkan berkata seseorang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid. (Berita di sini)


Benarkah demikian? Apakah sebenarnya pandangan para fuqaha berkenaan dengan isu ini? Jika dikaji sebenarnya terdapat perbezaan pandangan yang ketara di dalam isu ini ekoran tiadanya nas mutlak yang melarang orang-orang bukan Islam memasuki masjid. Perbezaan itu bolehlah diringkaskan sebagaimana berikut :


Pertama : Pandangan yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi. Mereka berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif yang masih kafir pada masa itu di masjidnya. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Berkenaan firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat 28 yang bermaksud :


Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, Maka janganlah mereka mendekati Masjidilharam sesudah tahun ini..”


Mereka berhujah bahawa ayat ini menegah orang-orang kafir memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah dan perbuatan ini menghina Masjidil Haram. Oleh yang demikian, ’illah larangan bukanlah kekufuran mereka tetapi penghinaan terhadap masjid.


Kedua : Dibolehkan orang-orang kafir memasuki masjid dengan izin kaum muslimin kecuali majidil Haram dan masjid-masjid yang ada di Tanah Haram. Ini merupakan pandangan ulama-ulama mazhab Syafie (Lihat Raudhah Tolibin, jilid 1 / ms 296). Pandangan ini merupakan salah satu pandangan Imam Ahmad dan juga pandangan sebahagian ulama Mazhab Hambali.


Hujah mereka ialah kata-kata Said bin Musayyib : Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia kafir namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram. (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim di dalam pentafsiran ayat 28, surah al-Taubah)


Pandangan yang ketiga : Diharamkan sama sekali bagi orang-orang kafir untuk memasuki masjid. Ini merupakan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal dan majoriti fuqaha yang bermazhab Hambali. Mereka berhujah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah memerintahkan seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar RA tidak membantah kata-kata Abu Musa. Ini menunjukkan pandangan bahwa orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid merupakan pandangan yang masyhur di kalangan sahabat. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi semasa menafsirkan ayat 28 surah al-Taubah dengan beberapa hujah yang lain).


Pandangan keempat : Tidak dibenarkan orang-orang kafir memasuki masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan di dalam keadaan dharurat. Jika mereka memasuki masjid sekalipun hendaklah dengan pengawasan orang-orang Islam kerana dibimbangi akan membuat perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Ini merupakan pandangan mazhab Malik (Rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki).

Selain itu, ada juga pandangan para ulama yang membezakan hukum menurut perbezaan jenis kafir itu sendiri samada harbi, zimmi atau ’ahdi.


Perbezaan-perbezaan pandangan ini menunjukkan keluasan fiqh di dalam masalah non-muslim memasuki masjid. Oleh yang demikian, tidaklah wajar mana-mana pihak menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas apatah lagi jika sememangnya berpegang dengan mazhab al-Syafie sebagai mazhab rasmi, sudah tentu pandangan yang wajar diambil ialah harus. Di dalam medan dakwah untuk mengajak orang-orang bukan Islam bersama-sama kaum muslimin dan melembutkan hati mereka, pandangan ini wajar diambil selagi mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang menghina kesucian masjid.


Wallahu a’lam.


sumber