Hakim Britain mungkin guna undang-undang syariah
2:10 PM | Author: anakbelalang


Oleh Agensi

 LONDON: Hakim di Britain terpaksa mengguna pakai undang-undang syariah dalam sesetengah kes perceraian berikutan cadangan Kesatuan Eropah (EU) menggesa mahkamah keluarga di seluruh Eropah mengadili kes menggunakan undang-undang negara paling berkait rapat dengan pasangan terbabit.

Ia bermakna mahkamah di England boleh mengendalikan kes menggunakan rangka perundangan Perancis atau memakai undang-undang Arab Saudi kepada suami isteri rakyat negara berkenaan yang tinggal di Britain.

Kumpulan pemikir Centre for Social Justice menyifatkan pembaharuan digelar Rome III itu sebagai mustahil dilaksanakan. Malah mereka memberi amaran ia boleh melambatkan kes, meningkatkan kos dan membawa kepada keputusan tidak adil.

Bagaimanapun, laporannya menegaskan bahawa peraturan sedia ada sebagai ‘antikeluarga.’

Buat masa ini, kes cerai pasangan daripada negara EU berbeza boleh didengar di negara pertama salah seorang memfailkan dokumen perceraian.

Disebabkan negara berbeza menawarkan pelbagai kelebihan kewangan kepada suami isteri dari segi pembahagian kekayaan, usaha ‘berlumba ke mahkamah’ di bidang kuasa kehakiman terbaik tidak menggalakkan pasangan untuk cuba menyelamatkan perkahwinan mereka, menurut laporan kumpulan pemikir itu.

Laporan menggesa rumusan lebih mudah, dengan setiap negara melaksanakan undang-undang sendiri dan kes didengar di negara paling berkait rapat dengan pasangan.

Sekurang-kurangnya sembilan negara EU - tidak termasuk United Kingdom - dikatakan mahu menggunakan pelan Rome III itu. - Agensi


Isu Status Agama Anak Bawah 18th
5:24 PM | Author: anakbelalang


DRAF CADANGAN PENYELESAIAN
ISU MOHD RIDZUAN ABDULLAH
DAN KELUARGA


1. PENDAHULUAN
Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah
a- Status agama tiga orang anak beliau [ iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun). ]
b- Hak penjagaan anak.
c- Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 - Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.
Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.
Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].
Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ  قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .
Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.
Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 - Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.
Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.
Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:
a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].
b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]
c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 - Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.
Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.
Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]
Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut).


Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:
1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)
2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 - Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.
2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 - Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya).
Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].
Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].
Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 - Hak Pemberian Nafkah[11]

a - Nafkah kepada anak

Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.

b - Nafkah kepada isteri

Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.
Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.


Disediakan oleh :

Fellow MANHAL PMRAM 2009

Hasil kajian:
1. Al Fadhil Ustaz Syed Abdul Qadir Al-Jofree
2. Al Fadhil Ustaz Abd Rahman Mohd Tharin
3. Al Fadhil Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir
4. Al Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain

[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.
[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.
[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.
[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah
[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.
[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985
[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.
[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.
[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.
[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

sumber
PENGENALAN RINGKAS TENTANG AURAT
8:32 PM | Author: anakbelalang
Oleh Mutara Islam

Aurat dari segi bahasa; ialah keaiban, manakala dari segi istilah syarak; ialah bahagian-bahagian tertentu pada tubuh manusia yang wajib ditutup.

Jadi, aurat bermaksud bahagia-bahagian tertentu yang wajib dilindungi daripada pandangan orang ajnabi kerana perbuatan tersebut dianggap suatu yang mengaibkan di sisi agama Islam.

Aurat lelaki:

Lelaki yang akil baligh wajib menutup aurat dengan sempurna mengikut syarak. Batasan aurat lelaki telah pun jelas disebut oleh Rasulullahlah s.a.w. melalui hadis yang diriwayatkan oleh Darul Qutni ” aurat lelaki ialah bahagian di antara pusat dan lutut”.

Walaupun begitu, mengikut pandangan ulama aurat lelaki berbeza mengikut situasi yang dihadapinya, di antaranya adalah seperti berikut:

a) Ketika solat - antara pusat dan lutut.
b) Di hadapan wanita yang bukan mahram - seluruh anggota badan
c) Di hadapan lelaki dan wanita yang mahramnya - antara pusat dan lutut.
d) Ketika seorang diri di tempat sunyi - qubul dan dubur sahaja.

Aurat wanita:

Syarak telah menetapkan bahawa aurat wanita lebih daripada aurat lelaki. Antara dalil yang menjelaskan batasan aurat wanita ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud ” seorang gadis yang apabila telah kedatangan haid tidak dibenarkan mendedahkan tubuhnya melainkan muka dan dua tapak tangan hingga pergelangan tangan”.

Termasuk di dalam kategori mendedahkan aurat juga ialah memakai pakaian yang nipis. Kerana menurut satu hadis bahawa pada suatu hari Asma’ binti Abu Bakar telah berkunjung ke rumah Rasulullah s.a.w. dengan memakai pakaian yang agak nipis sehingga menampakkan warna kulitnya, lalu baginda menegur ” wahai Asma’, seorang perempuan apabila kedatangan haid tidak harus dilihat kepadanya kecuali ini dan ini sahaja”. Sambil baginda mengisyaratkan ke muka dan tapak tangannya.

Dalam satu riwayat lain, Hafsah binti Abdul Rahman berkunjung ke rumah Aisyah (isteri Rasulullah s.a.w.) dengan memakai kain tudung yang nipis lalu dikoyak oleh Aisyah dan diganti dengan tudung yang tebal seraya berkata : Rasulullah pernah bersabda : Allah melaknati perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang.”

Sama seperti lelaki, wanita juga mempunyai batas aurat tertentu mengikut situasi yang dihadapinya. Antaranya ialah seperti berikut:

a) Ketika solat - seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
b) Di hadapan wanita kafir dan wanita Islam yang fasiq atau rosak akhlak - seluruh anggota kecuali kepala, muka, leher, dua tapak tangan hingga ke siku dan dua tapak kaki.
c) Di hadapan lelaki yang bukan mahram - seluruh tubuh tanpa pengecualian menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab syafie’.

Pendapat empat mazhab tentang aurat wanita Islam

1. Mazhab Syafie’:

Pendapat pertama : Semua anggota badan (pendapat yang paling sahih)
Pendapat ke dua : Semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan (sekiranya tidak menimbulkan fitnah)

2. Mazhab Hanbali:

Pendapat pertama : Semua anggota tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Jika mendedahkannya menimbulkan fitnah maka wajib juga ditutup.

Pendapat ke dua : Semua anggota.

3. Mazhab Hanafi:

Pendapat pertama : Semua anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Bagaimanapun jika mendatangkan fitnah wajib ditutup.

Pendapat kedua : Semua anggota tubuh kecuali muka, dua tapak tangan dan tapak kaki hingga pergelangannya.

4. Mazhab Maliki:

Semua anggota tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Jika mendedahkannya ditakuti boleh menimbulkan fitnah maka wajib juga ditutup.

Cuba anda bandingkan pendapat-pendapat mazhab yang telah disebutkan di atas. Kalau diperhatikan, tiada perselisihan pendapat yang ketara dari segi batasan aurat wanita. Dengan itu tiada ruang bagi wanita mukminat untuk mempertikaikan tentang masalah aurat kerana ia telah menjadi hukum dan peraturan syarak yang wajib dipatuhi oleh setiap wanita.


sumber

ANAK - ANAK PEJUANG SELAYAKNYA DITARBIYYAH
1:00 AM | Author: anakbelalang
Firman Allah swt :

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya ( penyejuk mata hati ), dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.

( Surah al Furqan . Ayat : 74 )

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .

Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa , bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt.

Justeru itu , Nabi saw menegaskan :
[1]

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah . Maka ibubapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi , Nasrani atau Majusi .

( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya . Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah , malah Nabi saw. sangat berbangga dengan ramainya jumlah ummat Baginda di akhir zaman .

Sabda Rasulullah saw.
[2]

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم

Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak , maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummat.

( Riwayat Abi Daud dan an Nasa’I )

Saudara Muslimin dan Muslimat sekelian .

Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak – anak bukan suatu yang mudah , sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.
[3]

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi .

Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki Aqidah yang benar dan Spiritual yang yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular .

Pengajaran dari wasiat Lukmanul Hakim .

13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".



Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman :

· Membina Aqidah kukuh agar tidak syirik .
· Asuhan agar mentaati Ibu bapa .
· Meyakini pembalasan Ilahi. ( syurga neraka & dosa pahala )
· Melaksanakan Ibadah asas seperti solat
· Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat .
· Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan .
· Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dsbnya.
· Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dsbnya.

Inilah silibus utama dalam Pendidikan Anak yang perlu kita laksanakan.

Antara lainnya sabda Rasululullah saw. :
[4]

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عليها وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ في الْمَضَاجِعِ

Perintah anak – anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka enggan ) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka ( lelaki dan perempuan )

( Hadis Sohih Riwayat Imam Ahmad , Abi Daud , al Hakim dan al Baihaqi )

PETUA ALIM ULAMA’ DALAM MENDIDIK ANAK .
[5]

ANAK NAKAL .

1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah saw.

2. Selawat al Fatih : 100 kali

اللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَ الْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَ الْهَادِيْ إِلىَ صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمَ وَ عَلَى آلِهِ وَ أَصْحَابِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَ مِقْدَارِهِ اْلعَظِيْمِ .

3. Surah Aali Imran . Ayat : 83
[6]

4. Ayat al Kursi . 170 kali

5. Surah at Taubah . Ayat 46 : 100 Kali .

Ayat – ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian .

ANAK DEGIL .

Baca ayat “ Salam Yassin ” : Ayat ke 58 dari surah Yassin .

Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam jumaat sebanyak 313 kali . Sebelum membacanya , terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali di hadiahkan kepada Rasulullah saw , Alim Ulama’ , Para Syuhada’ , Ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya.

MELAHIRKAN ANAK YANG MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT.

Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata , hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah . Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kita semua .

[1] Sohih Bukhari Jil. 1 / Mukasurat 456 . Hadis No. 1293 ( Terbitan Dar Ibnu Kathir 1987 / cetakan ketiga ) Sohih Muslim . Jil . 4 / Muka surat 2047 . Hadis No. 2658 ( Terbitan Ihya’ Turas al A’rabi )

[2] Sunan Abi Daud . Jil. 2 / Muka surat 220 . Hadis No : 2050 . Terbitan Darul Fikri . Sohih . di keluarkan oleh an Nasa’I dlm Kitabun Nikah Bab Karahiyatun Tazwijul A’qim . Jil .6 Muka surat 373 . Hadis No. 3227

[3] Terdedah kepada gejala social yang merosakkan akhlak dan moral , malah turut mengancam aqidah dengan pelbagai sogokan ideology dan ajaran yang asing dari Manhaj an Nabawiyyah ( antara contoh : Sebagaimana kes murtad yang didedahkan oleh Mastika bln Oktober 2006.)

[4] Sunan Abi Daud . Jil 1 / Muka surat : 133 . Hadis No. 495 Terbitan Darul Fikri . Musnad Imam Ahmad . Jil . 2 / muka surat 180 hadis No. 6689 al Hakim dalam Al Mustadrak . Jil . 1 / muka surat 197 dan Sunan al Baihaqi . Jil 3 / muka surat 84

[5] Rujuk buku : Amalan Pelembut Hati . Susunan al Ustaz Hanif bin Hj. Ghazali . Terbitan Madrasah Zubaidiyyah . Merbok Kedah .

[6] Imam Tabarani meriwayatkan hadis daripada saiyidina Anas bin Malik Bahawa nabi saw. telah bersabda :

من ساء خلقه من الرقيق و الدواب و الصبيان فاقرءوا في أذنه :



sumber

Temuduga Kerja : Apa Kunci Kejayaannya ?
12:46 AM | Author: anakbelalang

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/


Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.

Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.

Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.

Saya bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

Saya bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktical dan mementingkan kefahaman berbanding hafalan semata-mata.

Tidak dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.

Jika anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya, adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu memperkembangkan ilmu.

Mungkin kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan soalan-soalan panel temuduga.

Melalui tulisan ringkas ini, saya akan cuba mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga. Namun masih boleh berkongsi pengalaman.

Secara ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon, kelemahan tersebut juga berulang-berulang.

Soalan Biasa

Tidak kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan awal adalah :-

"Please introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"

Ini adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.

Jawapan calon bagaimana?

"Saya berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"

"saya sekolah tadika di..., "

"Saya sudah berkahwin dah punyai ....anak"

Bagi saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.

Ini kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan dengan kerjaya yang diminta sahaja.

Cukup memfokuskan kepada bahagian berikut :-

1) Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.

2) Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)

3) Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.

Saya kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga, nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan ketidakmatangan calon.

Panel biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan calon.

Tahap Satu

Selapas soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :-

1) Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang diminta.

Sebagai contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah Islamic Bank.

Sudah tentu panel akan cuba menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.

2) Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.

Tatkala itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.

Sebagai contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.

Maka calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima arahan supervisor dan lain-lain"

Bagi saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat calon.

3) Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang.

Ini soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda. Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu,

Kenalan saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :

"Tak pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun sebenarnya"

Kata sebegini adalah satu kesilapan besar.

4) Mengapa kerap menukar kerja?

Soalan ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya, 'melompat-lompat'.

Mereka pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :

"Semua calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"

Lihat, malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.

Tanpa jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap melompat sebagai :-

1) Tidak setia kepada satu-satu organsasi.

2) Gila pangkat.

3) Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.

4) Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.

5) Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.

6) Kurang kemahiran interpersonel.

Tahap Kedua

Tahap seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :-

  • 1) Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.
  • 2) Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa bercakap
  • 3) Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.
  • 4) Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.
  • 5) Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.

Ini adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah menuntut satu tahap yang tinggi.

Bagaimanapun, sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah tentu lebih baik.

Bagaimanapun point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan eksekutif.

Banyak kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-

a- Tidak yakin dengan jawapan. Ada dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua soalan bukan fakta.

Bagi soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.

Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka dan sedikit pergerakan tangan.

Ini tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika diprovokasi oleh panel seperti katanya,

"Anda sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"

b- Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.

Kebanyakkan panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang calon yang berbakat.

c- Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.

d- Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja.

Bagi sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan tertekan.

Tahap akhir

Sebagai ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan gaji yang dipohon.

Ini sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.

Justeru, 'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan gaji calon sekarang.

Untuk itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja kilang sahaja.

Jangan letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding kelulusan anda.

Jika anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.

Jika calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.

Jika calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM 6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon, dibelakang sudah tentu agaknya.

Sebenarnya banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk aspek :-

1) Saiz Syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya punyai 'scale' yang berbeza.

2) Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan lain-lain. Ini juga banyak berbeza.

3) Jenis Kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan permohonan sedikit tinggi.

4) Jenis Jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua mempunyai scale masing-masing.

Justeru, calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel,

"Mengapa anda layak dengan gaji sebanyak ini?"

Jawapan perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi;

"Berapa minimum yang anda boleh agaknya?"

Sekali lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.

Oleh kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan 'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit tinggi. Demikian sebaliknya.

Soalan Penutup

Biasanya, soalan penutup panel temuduga adalah:

"Do you have any question?" atau " Saudara/i ada apa-apa soalan?"

Kebanyakan calon akan mengatakan ‘Tiada soalan"

Bagi saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.

Panel sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat, peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain. Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga, soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan panel.

Demikianlah, beberapa nasihat dan pandangan ringkas saya buat bejkalan rakan-rkaan pengjung http://www.zaharuddin.net/ yang majoritinya beumur 22- 35 tahun. Sudah tentu proses temuduga akan berterusan dalam usia ini. Harapan saya, ia mampu membantu serba sedikit persiapan karier anda agar lebih berjaya.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-

إن الله عز وجل يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani, terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)

Menurut sebuah hadis sohih pula :-

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Ertinya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional, ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )

Kedua-dua hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita sentiasa.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

7 November 2007

26 Syawwal 1428 H



ENAM PERSOALAN HIDUP
4:27 PM | Author: anakbelalang
Sebelum memperkatakan sesuatu renungkan nasihat ini dari Riwayat Imam Al-Ghazali tentang persoalan HIDUP dan MATI:

ENAM PERSOALAN HIDUP

Suatu hari, Imam Al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya.

- Lalu Imam Al Ghazali bertanya, pertama,

"Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman, dan kerabatnya. Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar.

Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah "mati". Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Ali Imran : 185).

- Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua.

"Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Murid -muridnya ada yang menjawab Negara Cina, bulan, matahari, dan bintang-bintang. Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar.

Tetapi yang paling benar adalah "masa lalu". Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak boleh kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari-hari yang mendatang dengan perbuatan yang tidak merugikan.

- Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga.

"Apa yang paling besar di dunia ini?"

Murid-muridnya ada yang menjawab gunung, bumi, dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam Ghazali.

Tetapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah "nafsu" (Al A'Raf : 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka.

- Pertanyaan keempat adalah,

"Apa yang paling berat di dunia ini?".

Ada yang menjawap batu, besi, dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali,

Tetapi yang paling berat adalah "amanah" (Al Ahzab :72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka untuk menjadi kalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari manusia masuk ke neraka kerana ia tidak menjalankan amanahnya.

- Pertanyaan yang kelima adalah,

"Apa yang paling ringan di dunia ini?".

Ada yang menjawab kapas, angin, debu, dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali,

Tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan 'Solat'. Gara-gara sibuk dengan pekerjaan kita tinggalkan solat, gara-gara mesyuarat kita tinggalkan solat.

- Lalu pertanyaan ke enam adalah,

"Apakah yang paling tajam di dunia ini?".

Murid-muridnya menjawab dengan serentak, pedang... Benar kata Imam Ghazali,

Tetapi yang paling tajam adalah "lidah manusia".
Karena melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.


sumber : bumiperak